Sekadar menulis suka-suka. Diharapkan jangan meng"copy" atau menciplak idea yang tidak seberapa. Maaf sekiranya ada yang tidak berkenan di mata dan hati.
Wednesday, August 28, 2013
Pengawal Peribadi Segera!!!! Bab 2
Bab 2
Deruman kereta Mitsubishi Lancer milik Syafiq Aiman, membelah kesunyian tengah malam. Terpancar senyuman di wajah Syafiq apabila kawan baiknya sudi mempertimbangkan peminangan sebentar tadi. Hatinya ingin menggeletek ketawa besar, apabila melihat reaksi terkejut besar Fauzan Raykal.
“Aku tidak mengharapkan orang lain untuk menjaga adik perempuan aku yang seorang itu. Kau sendiri pun tahu aku sukar percayakan orang lain. Dapat pula untuk dijodohkan dengan Qila. Budak tu sudahlah keras hati dan ego. Cuma lelaki sejati macam kau sahaja dapat meluntur buluh si Qila itu tau” seingatnya kata-kata yang digunakan untuk memujuk Raykal.
“Qila tukan teguh pendirian macam Alongnya juga. Aku hairan setuju dia pula untuk berkahwin dengan aku, Fiq” Fauzan berasa amat pelik dan musykil. Memang dia sering memerhatikan tingkah laku Qila daripada jauh. Ada sesuatu tarikan pada gadis comel itu.
Syamira Aqila terpaksa menguruskan syarikat milik keluarga mereka sendirian setelah Syafiq Aiman tetap berkeras untuk meneruskan dengan kerjayanya sebagai kapten. Namun Syafiq sudahpun bertunang dengan Nurul Aisyah, seorang pramugari bekerja di salah sebuah syarikat penerbangan tambang murah terkenal di negara ini. Oleh kerana, mereka berdua sering dilanda kesibukan. Seorang ke selatan, seorang ke utara. Sekejap seorang ke timur dan sekejap lagi ke barat, maka perkahwinan mereka masih tertangguh walaupun sudah hampir dua tahun bertunang. Namun mereka tetap bahagia bersama walaupun jarang bertentang mata. Bak kata orang sekarang, internet adalah segalanya. Yang jauh pun akan menjadi di hadapan mata dengan adanya video call, whatapps, Skype, Twitter dan macam-macamlah.
Syafiq sudah pun meloloskan diri ke dalam rumah milik keluarganya. Terpandang pintu kaca menuju ke kolam renang masih terbuka luas. Dia melangkah ke situ dan akhirnya mendapati Syamira Aqila sedang asyik duduk di tepi kolam renang sambil kedua kakinya terjuntai berendam. Dikuis-kuisnya air tersebut dengan kakinya.
“Assalamualaikum, Qila. Sudah pukul 2 pagi ni, kenapa tidak tidur lagi?” Qila sedikit tersentak mendengar suara abang sulungnya menyapa. Seketika tadi dia sebenarnya sedang menangis tetapi tidak sempat menyembunyikan airmatanya. Malu pula rasanya jika Syafiq mengetahui hatinya sedang gundah gulana memikirkan dipaksa untuk berkahwin dengan Fauzan Raykal.
“Waalaikummussalam” Tangan Alongnya dikucup lembut dan seperti biasa Along tentu akan mengucup ubun-ubun adiknya.
“Qila, menangis?” Terjah Syafiq.
Sekadar mengangguk. Wajahnya masih disembunyikan daripada pandangan jelas Syafiq.
“Boleh tak kalau Along jangan paksa Qila berkahwin?” Tanya Qila secara perlahan. Takut jika emosi Syafiq terganggu lain pula drama yang bakal terjadi. Syafiq seorang yang baran dan diktator dalam keluarganya. Malah Qila mengakui dia lebih gerund berhadapan dengan Syafiq berbanding ibubapanya sendiri.
“Keputusan Along muktamad. Tidak ada talian hayat. Along baru sahaja pulang bertemu dengan Fauzan, Dia bersetuju untuk memperisterikan Qila. Esok selepas maghrib, keluarganya akan masuk merisik dan meminang. Along sudahpun memberitahu Ayah Tahir dan Ibu Tijah serta Ayah Usu Man untuk menjadi wakil keluarga kita. Ayah Usu Man pun akan terbang ke sini dari Sabah esok pagi semata-mata kerana Qila” Oh tidak, semua saudara mara sebelah papa akan hadir. Sebelah mama tiada kerana mama anak tunggal.
“Along cepatnya, kenapa tidak tanya Qila dulu.” Makin kuat esakan tangisan Qila.
“Perlu ke?” Dibulatkan matanya kepada Qila seperti yang biasa Syafiq lakukan. Syafiq tahu Qila memang takut bila dia bermimik muka begitu.
“Perlulah sangat wahai Alongku Syafiq Aiman, sayang. Ini hal masa depan Qila. Qila yang hendak hidup bersama dengan Fauzan. Macam mana…” Jari telunjuk Syafiq sudahpun melekap ke bibir Qila. Tanda untuk membantutkan kata-kata bakal terucap daripada mulut Syamira Aqila.
“Bukan Fauzan, Qila kena belajar panggil abang Fauzan selepas ini. Along dan Fauzan sudah lama berkawan semenjak kecil lagi. Mungkin Qila sahaja yang tidak sedar sebab kebanyakan masa Qila dihabiskan belajar di luar negara. Jangan sesekali memandang Fauzan sebelah mata. Memang Qila nampak dia seperti orang-orang biasa sahaja tetapi dia ada banyak kelebihan untuk memimpin adik Along yang tegas, ego, keras hati dan bijak ni.” Qila hanya memandang wajah Along dengan muka sepi dan kosong.
“Bagaimana pula dengan karektor abang Fauzan?” Qila cuba mengorek rahsia. Mungkin ada yang membantu untuk meyakinkan hati kecilnya.
“Maaf Along tidak boleh bongkar apa-apa mengenai Fauzan pada Qila. Qila mesti berusaha sendiri untuk mengenali Fauzan nanti. Fauzan akan bekerja dengan Qila sebagai pengawal peribadi sepenuh masa selepas berkahwin nanti. Bagi tujuan keselamatan, majlis pernikahan kita akan jalankan secara tertutup di salah hotel terkemuka yang hanya akan diumumkan di saat-saat akhir kelak. Perkahwinan Qila juga akan dirahsiakan daripada pihak umum termasuk media.” Terang Syafiq dengan panjang lebar. Banyak rupanya telah dirancang oleh anak sulungnya itu.
“Cuma hint yang Along beritahu adalah sikap Fauzan sama seperti Along juga. Dia seorang yang berwajah serius dan sukar menghadiahkan senyuman kecuali dengan orang yang rapat dengannya sahaja. Seorang yang sangat tegas dengan pendirian dan jangan sesekali khianat kepercayaan yang telah dia berikan. Paling penting dia seorang yang penyayang, melindungi dan bertanggungjawab dengan apa yang dimiliki. Esok Qila bercakaplah dengan dia sendiri. Mungkin Qila akan dapat idea bagaimana identity Fauzan serba sedikit” Along bertindak bagaikan seorang pegawai pemasaran yang mempromosikan produk bernama Fauzan di mata Syamira Aqila.
“Jom tidur. Sudah lewat, esok Qila hendak menyambut bakal suamikan. Fauzan ada minta Qila masakkan dia sup bebola ketam dan masak lemak cili padi ayam kampung. Along ada cakap Qila pandai masak. Itu yang dia request tu. Nanti awal pagi kita ke pasar bersama-sama.” Amboi, belum jadi isteri sudah pandai mengarah itu ini. Melampau ini. Tidak dapat membalas dendam kepada Along, Qila merencanakan agar Fauzan pula yang bakal menjadi mangsanya nanti. Haish..betul ke aku hendak buat kerja gila ini.
*******
Seawal 6.30 pagi selesai bersolat Subuh lagi, Qila telah dikerahkan Syafiq untuk mengikutinya ke pasar berdekatan. Pantas sahaja mereka memilih lauk pauk yang bakal disajikan sempena menyambut rombongan keluarga Fauzan selepas maghrib nanti.
Setibanya di rumah, Syamira Aqila tidak membenarkan sesiapa pun membantunya di dapur. Dia sengaja merancang untuk mengenakan Fauzan. Setiap masakan disediakan dua versi, satu versi keluarga dan satu lagi versi Fauzan. Versi Fauzan agak istimewa. Masak lemak cili padi ayam kampung sengaja diletakkan lebih cili padi berbanding versi keluarga. Sup bebola ketam sengaja dimasak tawar untuk versi Fauzan. Kopi Arabica sengaja dibancuh pekat untuk versi Fauzan. Kek coklat versi Fauzan sengaja diletakkan lebih serbuk kayu manis untuk menyerikan perisanya. Huh, puas apabila melihat versi makanan Fauzan siap bersama-sama versi keluarga.
Syamira Aqila meninggalkan dapur untuk bersiap-siap menyambut rombongan Fauzan sebentar tadi. Padan muka dengan abang Fauzan. Sibuk hendak kahwin sangat dengannya kan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment