Wednesday, October 23, 2013

PENJARA KASIHKU - BAB 6

"Kamu sudah makan Am? Lajunya kamu memandu dari sana?" Tegur Datin Masyitah setibanya Amir Mazlan di rumah.
"Makan malam belum lagi. Eh, mana ada laju, mama ni. Mereka semua kirim salam pada papa dan mama" Amir tersenyum.
Dia cuba meluruskan kaki dan tangannya dan melabuhkan punggung di atas sofa empuk. Letihnya memandu seharian.
"Bagaimana dengan keputusan kamu, Am? Setuju?" Dato' Mansor memulakan sesi penyiasatan CSInya.
"Am rasa, papapun tak berikan Am talian hayatkan." Amir cuba mengusik papanya. Tajam pandangan Dato' Mansor kepadanya.
"Alah, papa ni. Please janganlah serius sangat. Am sudah jumpa dengan Azin sendiri. Kami setuju untuk berkahwin cuma..." Amir Mazlan cuba berteka teki dengan ibubapanya.
"Cuma apa Amir? Jelaskan kepada kami" Datin Masyitah menuntut penjelasan.
"Papa dan mama maklumkan Azin masih terlalu muda. Am, mohon kerjasama dan pengertian daripada dua belah pihak keluarga, tolong jangan masuk campur dalam urusan rumahtangga dan cara Am mendidik Azin kelak. Am ada alasan tersendiri dan Am tahu apa yang Am buat" Amir memohon pengertian.
"Majlis nikah Am nanti bercadang untuk buat di sebelah pagi. Majlis menjamu tetamu akan diadakan pada sebelah tengahari sehingga pukul 4 petang. Pada sebelah malamnya pula, Am hendak membawa Azin terus pulang ke rumah Am sendiri." Amboi cepatnya. Dato' Mansor dan Datin Masyitah berpandangan sesama sendiri.
"Kita buat majlis tu di Villa Desa. Gabungkan terus majlis kedua belah keluarga. Jimat masa dan jimat tenaga. Selepas Am bawa Azin keluar daripada Villa Desa pada malam itu, Am tidak akan izinkan sesiapapun bertemu dengan Azin lagi melainkan dengan kebenaran Am." Ibubapa Am terkejut.
"Kenapa Am berniat untuk kurung Azin di rumah Am?" Datin Masyitah tidak faham apa muslihat anak tunggalnya itu.
"Macam Am beritahu tadi. Papa dan mama mahukan Am berkahwinkan, Am sudahpun setuju. Papa dan mama mahukan Am melengkapkan syarat-syarat wasiat untuk memiliki dan mewarisi empayar hotel kitakan, Am akan tunaikan dengan jayanya. Cuma pada fikiran Am, Azin hak mutlak Am. Am tidak mahu berkongsi dengan sesiapa mahupun ahli keluarga. Baik buruk atau sakit pening Azin biar dia jadi tanggungjawab penuh Am. Sekiranya amat perlu, Am sendiri akan minta tolong di antara dua belah keluarga. Please mama, papa. Faham Am?" Cerdik betul fikiran Amir Mazlan. Detik hati papanya.
"Apa kata Azin? Dia tahu?" Tanya Dato' Mansor lagi.
"Am sudah maklumkan pada dia. Pandai-pandailah dia hendak beritahu kepada ibu dan ayahnya. Azin sudah berjanji akan taat pada Am sebagai suami dia kelak selagi apa yang Am arahkan tidak berpaling daripada syariat agama kita. In Sha Allah." Amir begitu yakin Azin mudah dididik dan jatuh di genggamannya.
"Alhamdullillah. Baguslah begitu. Hujung minggu ini, kita adakan merisik dan bertunang sekaligus" Dato' Mansor teruja untuk menerima menantu.
**********
Majlis merisik dan bertunang berjalan dengan lancar dan sederhana. Pihak Azin yang minta tidak berlebih-lebihan. Azin Aliah Syakila sudahpun selamat menjadi tunangan Amir Mazlan Dato' Mansor. Azin masih merahsiakan daripada pengetahuan sahabat handainya tentang pertunangannya itu.
"Abang balik dahulu, Azin. Jangan lupa minggu depan kita ada kursus perkahwinan pada hari Rabu sepanjang hari. Abang sudah tempahkan Ustaz Badar dan Ustazah Bainun untuk memberikan kursus persendirian pada kita nanti." Amboi kursus berdua sahaja.
"Abang tidak gemar berkursus ramai-ramai. Semak kepala. Kursus persendirian biasanya lebih telus dan kita boleh kemukan soalan tanpa rasa malu orang luar tahu hal rumahtangga kita. Untuk makluman Az, mereka telah abang lantik sebagai penasihat agama untuk keluarga kita. Selepas berkahwin nanti, Az akan belajar ilmu agama dan belajar mengaji dengan Ustazah Bainun. Begitu juga abang akan belajar dengan Ustaz Badar". Setakat ini, hanya Amir sahaja yang berbicara. Azin masih mendengar setia.
"Baiklah, Az ikut sahaja mana yang terbaik. Nanti abang datang ambil Az?" Azin cuba berbahasa dengan Amir.
"Nanti abang maklumkan pada Az kemudian. Jika tidak sempat, abang akan minta Pak Rashid pemandu peribadi abang bawa Az ke sana. Mungkin Az kena bermalam di rumah kita nanti." Amir secara tiba-tiba tersenyum.Baru kali pertama Azin melihat senyuman ikhlas daripada Amir Mazlan. Wah..kacak juga bakal suaminya. Mana tidaknya, Amir asyik mempamerkan wajah persis singa lapar sahaja.
"Azin, yang kamu ini tersenyum simpul malu, kenapa? Baru tahu abang kacak dan tampan ye?" Amir cuba mengusik. Baru cuba-cuba untuk melawak dengan bakal isterinya. Amir pasti Azin tentu bertanggapan yang Amir bukanlah kategori yang mesra alam. Gelaknya tercetus sendirian di dalam hati.
"Eish...abang ini mengada-ngada pula. Ingatkan sudah lupa macam mana hendak tersenyum atau ketawa." Azin memberanikan diri.
"Em..itu sudah lebih. Az kena ingat batas-batas untuk bergurau dengan abang. Jangan main terjah sahaja" Eh...sekejap sahaja wajah Amir sudah bertukar menjadi serius. Alamak, berdiri seluruh bulu roma di lengan Azin Aliah Syakila. Mulutnya dikunci rapat dan hanya membalas dengan anggukan laju sahaja.
"Oklah, nanti kita jumpa lagi. Assalamualaikum" Amir Mazlan berlalu meninggalkan Azin untuk menyertai rombongan keluarganya. Selepas bersalaman, rombongan Dato' Mansor dan Datin Masyitah meninggalkan perkarangan laman keluarga Azin Aliah Syakila.
***********
Keesokan harinya Farah, kawan karib Azin datang bertandang ke rumahnya.
"Az, jomlah kita ke bandar. Aku hendak beli kelengkapan buka semester persekolahan nanti. Jomlah" Farah mengajaknya beriya-iya.
"Aku tidak bolehlah Farah. Aku tidak boleh ikut kau" Azin cuba mengelak. Baru semalam, Amir memberi amaran kepadanya jangan ke mana-mana tanpa pengetahuannya. Azin tidak pasti apakah yang bakal berlaku dia ingkar arahan itu.
"Eh. Semalam aku ada lalu di hadapan rumah kau. Aku lihat ramai orang, siap dengan barangan hantaran lagi. Siapa bertunang. Eh, jangan-jangan kau bertunang ke? Sampai hati kau tidak jemput aku, tidak maklumkan pada aku." Azin sekadar mengangguk lemah.
"Maafkan aku Farah. Semuanya berlaku sangat pantas. Aku tidak sempat beritahu sesiapa. Cuma lebih aku sudah hantar surat berhenti sekolah. Aku akan berkahwin awal tahun depan. Aku akan pindah ke Putrajaya ikut bakal suami aku." Farah berpelukan dengan Azin. Sedih tidak dapat digambarkan.
"Cepatnya Az. Abis persekolahan kau macam mana nanti?" Farah terasa ingin tahu.
"Aku tidak tahu Farah. Semuanya diaturkan oleh bakal suami aku. Selepas ini akupun tidak bertemu dengan sesiapa lagi termasuk ahli keluarga aku. Paling kurang lima tahun ataupun sehingga bakal suami aku benar-benar yakin dengan aku." Farah membulatkan matanya. Terkejut besar.
"Engkau akan terpenjara dalam rumah besar dia. Kau biar betul, Az. Boleh jadi gila kau nanti" Farah seperti tidak percaya apa yang bakal dilalui oleh teman rapatnya.
"Engkau tidak mahu ikut aku, kenapa ya? Ini mesti tunang kau dah beri amaran jangan keluarkan. Apa susah, kau minta izin sahajalah dengan dia. SMSlah tunang kau cepat." Farah cuba memujuk. Azin berasa serba salah. Ditelan mati emak, diluah mati bapa, bak kata orang tua-tua. Azin memberanikan diri untuk menghantar pesanan ringkas kepada Amir.
Assalam, Azin nak minta izin keluar beli barang di bandar dengan Farah kawan karib saya. Saya janji saya akan balik awal.
"Kita tunggu ye dalam setengah jam. Kalau dia jawab juga kita keluar sahajalah" Azin sendiri membuat keputusan. Alang-alang, mungkin ini kali terakhir Azin dan Farah dapat bersama. Berani buat berani tanggung. Assalam. Azin sudah tunggu jawapan abang hampir setengah jam. Farah sudah ada di sisi. Azin keluar dulu ye. Janji balik awal.
"Ibu, Azin keluar dengan Farah sekejap ke bandar. Cari barang sekolah Farah." Ibunya mengangguk.
"Kamu sudah maklumkan pada Amir?" Ibunya bertanya.
"Saya sudah hantar pesanan ringkas tetapi tidak berbalas. Mungkin dia ada mesyuarat kot. Boleh ye ibu, sekejap je." Azin memujuk ibunya. Tiba-tiba ayahnya bersuara.
"Pandai-pandai kamu berdua jaga diri. Azin, ingat kamu tu darah manis. Amir sudah beritahu ayah yang dia tidak diizinkan kamu merayau. Sekiranya Amir marah, pandai-pandailah kamu tanggung sendiri. Ayah tidak masuk campur." Padil memberikan amaran ikhlas kepada Azin. Bukan dia tidak tahu bakal menantunya ada sikap baran.
"Baiklah, ayah. Tahulah Az nanti" Azin cuba meyakinkan dirinya, sedangkan diapun tidak berapa pasti sama ada mampu menenangkan gunung berapi milik Amir Mazlan jika meletus. Tidak mengapa buat eksperimen dahulu sebelum berkahwin. Getus hatinya.
"Belum kahwin lagi, kau dikongkong. Kau rasa nanti kau boleh tak tahan ke Az?" Farah berbisik dengan Azin.
"Jika itu takdir dan suratan hidup aku. Aku redha Farah" Azin terasa sendu pula.
"Jika kau perlu bantuan aku, nanti kau beritahu tau. Apa guna ada kawan karib kalau tidak boleh menolong" Farah ikhlas. Azin mengangguk dan memaut erat bahu kawannya itu. "Jom nanti lewatlah".

No comments:

Post a Comment