Friday, September 27, 2013

Penjara Kasihku Bab 3

Bab 3
“Hurghhh!!!!” Azin menguap dan menyeliat kemalasan. Pukul 5.30 pagi lagi Maryam telah bangkitkan Azin dari lenanya. Memang sudah menjadi kepantangan Maryam jika anak daranya bangun lewat. Terutama Azin, anak sulungnya itu perlu menjadi contoh terbaik kepada adik-beradiknya yang lain. Siapa yang hendak jadikan isteri, jika anak dara bangun mentari sudah menegak. Itulah perkara yang sudah naik hafal si Azin apabila Maryam membebel bila dia liat bangun awal pagi.
“Sudah mandi dan solat, Along?” Tanya ibu ringkas.
“Hah, hari ada kelas kan”. Azin sekadar menganggukkan kepala malas sambil menyumbatkan roti kaya ke mulutku. Pepagi begini baterinya masih belum dicas lagi.
Jam tangan Azin menunjukkan pukul 8.30 pagi. Masih awal lagi kerana kelas memasak dan menjahit anjuran JKKK Kampung Bukit Ria akan bermula jam sembilan pagi. Kelas ini memakan masa tiga jam setiap hari Sabtu dan Ahad, dimanfaatkan Azin sebaiknya. Pada mulanya Azin membantah kata ibunya agar turut serta mengikuti kelas percuma ini. Ibu selalu memberikan nasihat, orang perempuan mesti pandai menguruskan rumahtangga dan berilmu. Baharu suami sayang. Cepat atau lewat datangnya jodoh, itu semuanya kerja Allah dan yang penting persediaan.
“Kalau hendak ikat kasih sayang suami, mestilah kena ikat perutnya dahulu. Bila perut suami kenyang, hatinya pun senang. Apabila suami sihat, maka mudahlah dia mencari nafkah zahir untuk keperluan keluarga dan batinnya pun terpelihara untuk menghasilkan zuriat yang sihat”. Terang ibu selalu kepadaku. Seram pula memikirkan mengenai kahwin.
“Patutlah ayah sayangkan ibu kerana ibu masak sedap” Terburai gelak kami dua beranak. Itu baru nafkah zahir. Nafkah batin, alamak getus hati Azin sendirian.
“Azin, perempuan ini memang ciptaan Allah yang indah. Penting seorang anak gadis memelihara maruahnya, menjaga kesuciannya. Tahu tak pada zaman ibu kahwin, pentingnya proses berandam. Keluarga lelaki mesti hendak pasti pasangan anak mereka masih suci. Jika didapati tidak suci, maka mereka akan diceraikan ataupun paling tidak diikat tidak bertali” Terang Maryam kepada Azin. Kejamnya mereka. Mengapa perempuan yang selalu menjadi mangsa keadaan?
Mungkin di atas dasar itu Azin sukar mendekati mana-mana lelaki. Seram sejuk Azin memikirkan tambahan pula dia sudah mencapai akil baligh sejak berusia 12 tahun lagi. Huh…ngeri dengar pula mendengar pasal kahwin. Bagaimana rupanya jodoh ku nanti agaknya? Getus hati Azin sendirian.
**********
Cuaca petang begini nyata nyaman sekali. Ditemani dengan burung-burung yang berkicauan sambil mencari makanan petang dan desiran angin sepoi-sepoi bahasa menyapu lembut ke wajah Azin. Tenang dan mendamaikan. Sesekali Azin menyelak helaian rambut yang cuba menutupi mataku kerana disapa angin kuat sebentar tadi.
Azin duduk di pangkin bawah pohon mangga sambil membaca novel dan memerhatikan adik-adiknya yang lain bermain guli di halaman. Seronok memerhatikan keletah mereka yang dibuli oleh Angah, Afif Aryan Syafiq dan Alang, Afiq Arman Syakir. Lagak Angah dan Alang mengalahkan budak sekolah rendah.
Azin ada teringin untuk keluar untuk bersiar-siar di bandar, tetapi bila difikirkan poketnya kosong terpaksa dibuang jauh-jauh. Azin tidak sampai hati meminta wang poket hanya untuk berseronok daripada ibubapanya yang bekerja siang dan malam untuk menyara kami sekeluarga.
Ibu Azin sedang sibuk menyiapkan jahitan tulang belutnya. Makcik Munah, tukang jahit paling top di Kampung Batu Ria ini selalu mengupah ibu, katanya hasil kerja tangan ibu halus dan pelanggannya suka. Kelibat ayah masih belum kelihatan semenjak dia pulang dari balai raya tengahari tadi.
Dua bulan lagi sesi persekolahan baru akan bermula. Belanja agak besar perlu dikeluarkan bagi menyediakan pakaian, keperluan dan buku-buku untuk Azin enam beradik. Tahun depan adik bongsunya Azin, Afina Aina Syafia juga mula bersekolah di pra sekolah. Mujurlah kerajaan bakal menanggung penuh kos untuk pra-sekolah kerajaan nanti. Kiranya Afina beruntung kerana kami yang lain hanya memulakan sesi persekolahan daripada darjah satu sahaja. Bertungkus lumus jugalah Azin dan adik-adiknya yang lain belajar mengenali angka dan abjad kerana tiada pendedahan awal. Mujur Allah mengurniakan mereka otak yang bergeliga, cepat jugalah belajar. Azin cuma tersenyum sendirian.
Padil baru tiba di halaman rumah. Wajah Padil akan sugul seolah-olah memikirkan sesuatu. Azin lantas bangkit meringankan tulang membancuh air kopi buat ibubapanya.
“Apa halnya, bang? Dato’ Mansor panggil abang ke villa hari ini. Pelik juga saya tidak pernah hari Ahad disuruh sambung kerja?” Maryam dapat mengesan perubahan tingkah suaminya petang ini.
Mengeluh dalam sebelum menjawab pertanyaan soalan Maryam.
Ayah terkesima apabila Azin tiba-tiba muncul menghantarkan minuman kepada ibubapanya.
“Jemput minum, ibu ayah” Pelawa Azin.
“Adik-adik cepat mandi sudah petang ni” Azin memekik memanggil adik-beradiknya yang lain. Berdedai mereka berlima berebut naik ke atas rumah, berebut bilik air siapa yang hendak mandi dahulu.
“Azin duduk dulu, ayah hendak cakap sikit. Hai, serba-salah saya, Maryam.” Keluhan Padil pendek.
“Kenapa bang?” Maryam sudah tidak sabar lagi.
“Tiga hari lagi, Dato’ Mansor hendak masuk merisik dan meminang Along untuk anak tunggalnya, Amir Mazlan” tersentak Maryam dengan jawapan Padil. Azin juga terkejut. Matanya mula berkaca-kaca menakung air mata.
“Biar betul, bang. Alongkan baru nak masuk 16 tahun. Takkan kita hendak kahwinkan?” Terkejut dengan keluhan Padil sebentar tadi.
“Amir Mazlan setuju ke, bang?
“Arahan Dato’ Mansor, Yam. Amir Mazlan terpaksalah akur. Ini persoalan pewaris harta mereka, Amirkan anak tunggal mereka. Kalau Amir tidak setuju, Dato’ Mansor akan sedekahkan sahaja pada Baitumal hartanya yang berjuta itu.” Terang Padil.
“Dato’ Mansor dan Datin Masyitah bersungguh-sungguh hendak bermenantukan Along. Lagipun abang tengok Amir Mazlan tupun tiada cacat celanya.” Padil menyambung.
“Along, ayah tidak mampu menolak permintaan Dato’ dan Datin. Mereka sudah banyak berjasa dengan kita. Terimalah Amir Mazlan sebagai jodoh kamu dunia dan akhirat. Ayah percaya, kamu akan bahagia dan kami akan sentiasa doakan yang terbaik untuk kamu berdua nanti. Pesan ayah, usia awal perkahwinan kamu mungkin kamu terpaksa membeli cinta Amir Mazlan dengan apa cara sekalipun. Perkahwinan tanpa rasa cinta pasti amat mencabar. Azin mesti banyak bersabar.” Hati Azin seperti hancur berkecai mendengar keputusan Padil sebentar tadi. Tidak pernah terbayang menjadi isteri orang pada usia 16 tahun. Hanya air mata yang menjawab bicara ayahnya itu.
“Dulu ayah yang tidak benarkan Along berhenti sekolah untuk bekerja. Sekarang Along kena berhenti sekolah pula untuk berkahwin. Pelik dan lawaklah ayah ini, ibu.” Azin bersuara meningkah kata-kata ayahnya namun masih dengan nada yang mendatar.
“Mereka itu daripada keturunan yang baik-baik Azin. Ayah fikir kehidupan Azin akan terbela selepas ini. Azin boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Kalau Azin senang, kami tumpang gembira. Bukan ayah hendak menggadaikan diri kamu, Azin, tetapi ini masa depan kamu. Ayah sudah lama kenal dengan Dato’ Mansor dan Datin Masyitah. Mereka pun sudah berjanji, hidup kamu tidak akan disia-siakan sebagai menantu mereka. Lagipun ayah sudah tua. Siapa lagi yang ayah hendak harapkan untuk menjaga adik-adik kamu kelak.” Tegas Padil panjang lebar.
“Ingat Azin Aliah Syakila, syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suaminya dan syurga seorang suami di telapak kaki ibunya. Sekiranya syurga lelaki itu yang bersungguh-sungguh untuk bermenantukan kamu, sudah pasti syurga hakiki milik kamu, Along. Yang penting kamu mesti sabar dalam mentaati suamimu kelak. Insya Allah perkara baik dan halal di sisi Allah s.w.t pasti ada ganjaran yang besar dunia dan akhirat. Antara cepat atau lewat datangnya sahaja.”

No comments:

Post a Comment