Bab 4
Amir Mazlan, lelaki yang Azin pernah temui hanya beberapa kali dan bertegur sapapun tidak pernah. Pertama kali pada jemputan makan malam selepas ayahnya, Padil menyelamatkan Dato’ Mansor secara kebetulan. Kali kedua pula, Azin terserempak dengan Amir Mazlan ketika menghantar makanan buat ayahnya semasa membersihkan Villa Desa tempohari. Sudah menjadi kebiasaan, Amir Mazlan memang suka merenung Azin persis singa lapar terkam mangsa. Azin sering terkesima dan kaku apabila diperlakukan begitu.
**********
Pada suatu hari, Padil terserempak dengan sebuah kereta berjenama Lexus yang tersadai di bahu jalan berhampiran kampung.
“Hai siapalah pula yang tersadai di situ, kawasan hutan kecil dan bahaya ni. Hari pun dah nak lewat ni” Merungut sendirian sebelum berhenti dekat dengan kereta tersebut. Diketuknya cermin tingkap kereta itu bertalu-talu, sedang kelihatan Datin Masyitah menangis sambil mengoncang-ngoncangkan tubuh suaminya.
Cermin tingkap itupun diturunkan.
“Kenapa ni, puan” tanya Padil ringkas.
“To..to..tolong saya, Encik, suami saya berkemungkinan kekurangan gula kerana pagi tadi dia tidak sempat mengambil sarapan.”
“Sekarang dia seolah-olah tidak sedarkan diri. Puas saya panggil kejutkan dia tapi keadaannya seperti mamai. Mujur dia sempat membrek kereta tadi, kalau tidak, saya belum pasti apa yang akan berlaku”. Terang Datin Masyitah ringkas. Wajahnya amat panik dan air matanya sudahpun bertakung.
“Tolonglah Encik. Saya tidak pandai memandu kereta lagipun saya tiada makanan atau minuman bergula dalam kereta ini untuk saya suapkan padanya sekarang ni” Datin Masyitah semakin panik.
Padil teringat dia ada membawa bekalan makanan sebentar tadi. Dia terus menghulurkan sepotong kuih kasui dan air milo suam yang masih belum diminumnya kepada Datin Masyitah.
“Berikanlah pada suami puan, mana tahu ni boleh membantunya”
“Terima kasih, Encik.” Pantas Datin Masyitah menyuapkan sedikit demi sedikit makanan dan minuman itu ke mulut suaminya. Setelah hampir 30 minit, barulah Dato’ Mansor bertindak balas positif tetapi masih sedikit mamai, memang begitulah keadaannya apabila paras gula terlalu rendah.
“Allahuakbar. Ita, maafkan abang sebab buatkan awak risau. Tidak semena-mena saya berasa pitam. Mana awak dapat makan minum ini.” Sempat bertanya dan isterinya mengisyaratkan ke arah Padil. Dato’ Mansor menghadiahkan senyuman kepada Padil. Dia ingin mengucapkan terima kasih tetapi tidak terucap daripada mulutnya.
Padil masih setia menunggu menemani pasangan itu turut membalas senyuman itu. Hatinya dirundum kerisauan andai kata apa-apa yang terjadi kepada mereka berdua. Walaupun dia hanya mengenali mereka dalam masa cuma 30 minit, rasa tanggungjawab dan perasaan belas itu terbit dengan sendirinya.
“Terima kasih, ye…nama Encik?” tanya Dato’ Mansor sambil cuba menghulurkan tangannya kepada Padil. Suaranya masih lemah.
“Padil” Dia mengenalkan dirinya secara ringkas.
“Saya Dato’ Mansor dan ini isteri saya, Datin Masyitah”. Dato’ dan Datin rupanya, patutlah berkereta mewah. Dihulurkan beberapa not wang seratus kepada Padil.
“Eh…Dato’ saya ikhlas, tidak mengapa”. Pantas Padil menolak.
“Segan pula saya Encik Padil menolak. Saya ini berhutang nyawa dengan Encik Padil” serba salah reaksi Dato’ Mansor di atas penolakan wang pemberiannya tadi.
“Baiklah, kalau macam itu apa kata datang makan malam di rumah saya malam ini dan bawa ahli keluarga sekali. Kali tolonglah jangan menolak, Encik Padil. Saya ingin berkenalan dengan Encik Padil sekeluarga dengan lebih dekat”. Pelawaan Dato’ Mansor bersungguh-sungguh membuatkan Padil sukar untuk menolak dan sekadar mengangguk tanda setuju.
“Baiklah, jemput ye, pukul 8 malam di Villa Desa. Kita balik ke sana dahululah Ita ye. Lagipun abang tiada urusan penting malam ini dan pagi esok.” Datin Masyitah sekadar bersetuju.
“Encik Padil tahu tak di mana letaknya Villa Desa?” Tanya Dato’ Mansor.
“Iya, Villa tu tidak jauh dari rumah saya. Insyaallah, sampailah kami nanti”
“Bawa sekeluarga sekali tau dan jangan lupa. Kami tunggu. Oh ya, maaflah kalau bertanya, anak Encik Padil semuanya berapa orang.”
“6 orang semuanya. Tiga lelaki dan tiga perempuan.” Ringkas sahaja Padil membalasnya.
“Bagus, Jam 8 malam. Jangan lupa ya, Assalamualaikum”Dato’ Mansor berlalu pergi dahulu.
“Waalaikummussalam.” Padil pun menuju ke rumahnya.
“Nanti telefonkan Am, beritahu dia kita di sini. Lagipun tidak silap abang, Am ada berhampiran Ipoh dan tidak jauh dari sini. Suruh dia tidur sini saja.”
“Oh ya, pesan dengan Am lagi, suruh hotel kita hantarkan makanan untuk 11 orang ke villa ya” Arah Dato’ Mansor kepada isterinya. Datin Masyitah terus menelefon stafnya untuk memberitahu seperti yang diarahkan oleh suaminya.
Tepat jam 6.30 petang, Amir Mazlan bin Dato’ Mansor tiba di Villa Desa. Pantas sahaja Amir mendapatkan Dato’ Mansor dan Datin Masyitah. Risau dengan keadaan papanya yang menghidapi kencing manis yang serius itu. Amir Mazlan sudah masak sangat dengan sikap bapanya itu, workaholic sangat sampai makan dan minum kekadang dilupakannya. Diapun sendiri kadang-kadang terikut perangai buruk bapanya itu. Penat mulut mamanya yang selalu bising dan bebelkan kepada kami dua beranak.
“Papa, macam mana? Are you need doctor?” Dato’ Mansor sekadar mengangguk tanda dia semakin pulih.
“Urusan kamu di Ipoh bagaimana, Am? Jadi ke, kita ubahsuai tiga suite honeymoon tu?”
“Baru dua syarikat pembinaan yang hantar tender, saya tunggu lagi 2 syarikat. Kemudian baru boleh buat keputusan” Terang Amir. Sekadar tersenyum, dalam sakitpun masihkan isu kerja dan bisnes. Lain ditanyanya, lain pula jawabnya.
“Oh ya, papa. Masa review tender nanti kita buat bersama-sama, boleh tak? Am tidak mahir sangat bab-bab inspirasi orang berbulan madu ni. Kahwin pun belum lagi” Amir cuba berseloroh dengan papanya.
“Tiada masalah. Papa boleh tolong. Malam nanti jangan lupa, papa ada tetamu. Malam malam pukul 8 nanti, jangan kemana-mana ke? Dato’ Mansor sudah menduga Amir Mazlan.
“Siapa papa?” Ringkas sahaja pertanyaannya. Baru bercadang untuk memanjakan diri dengan katil empuk di biliknya. Penat memandu daripada Cyberjaya ke Ipoh, kemudian bertemu dengan kontraktor binaan. Sekarang dia di Villa Desa pula. Kedudukan Villa Desa lebih kurang 60km daripada Bandar Ipoh. Tempat istirehat keluarga mereka di utara sekiranya kepenatan sangat.
”Nanti kamu akan tahu juga” Ujar Dato’ Mansor.
Begitulah Padil, Azin dan Amir teringatkan kembali saat pertemuan pertama di antara dua buah keluarga itu.
*******
Masih mengimbas kenangan pertemuan pertama.
Tepat pukul 7.45 malam. “Assalamualaikum”.
“Waalaikummussalam, jemput masuk semua.”
“Kita duduk di rumah tamu ini dahulu. Isteri saya tengah siapkan makanan.”
“Anak tunggal saya baru saja sampai tadi, berehat sekejap katanya” Jemput Dato’ Mansor.
“Terima kasih, Dato’ jemput kami makan.”
“Maaflah kalau pakaian kami ini tidak sesuai. Kami tidak pernah hadir ke jemputan makan malam orang berada ni” Kata Padil sambil berseloroh. Dia dan anak-anak lelakinya berpakaian baju Melayu manakala isteri dan anak-anak perempuannya sekadar berpakaian baju kurung dibeli semasa hari raya tahun lepas. Segan pula apabila dilihat Dato’Mansor berpakaian formal, begitu jua dengan isterinya, Datin Masyitah yang mengenakan busana jubah mewah dengan labuci dan sulaman tangan.
Pantas Datin Masyitah keluar daripada ruang dapur dan terus bersalaman dengan semua tetamu wanita yang berada di situ. Dia tidak mahu tetamunya berasa kekok berada di villa itu.
“Semua sudah ada ke? Maaflah saya sibuk di dapur tadi.” Aksi spontan Datin Masyitah, maklumlah kelam kabut seorang diri di dapur tadi.
“Jomlah, makanan sudah tersedia. Lepas makan nanti kita boleh sembang panjang” Jemput Datin Masyitah sambil tersenyum mesra.
Tiba di ruangan makan, Padil sekeluarga terpegun dengan makanan yang terhidang. Wah, banyaknya makanan seperti hendak mengadakan kenduri pula. Getus hati Padil.
”Amboi banyaknya hidangan, sempat pula Datin memasak.” Maryam cuba memesrakan dirinya.
“Tidaklah Maryam, saya pesan sahaja dari hotel kami. Kakitangan yang hantarkan sebentar tadi. Kami harap kenalah dengan selera kalian semua, masakan kampung.”
Datin Masyitah dalam hati memuji Amir Mazlan, pandai juga memilih makanan kampung sedangkan anak tunggalnya sendiri tidak berapa minat dengan hidangan itu.
Amir Mazlan baru keluar bilik. Berpakaian T-shirt Polo , bau haruman wangian Polo Sport menusuk terus ke hidung Azin Aliah Syakila. Mata Amir dan Azin tercantap sekejap.
“Cantik juga gadis kampung ni” Amir bermonolog sendirian di dalam hati. Sekadar berpakaian baju kurung berbunga kecil, rambut bertocang satu dan dicalit gincu merah sepadan dengan warna tanah bajunya. Lama Amir Mazlan memandang kepada gadis ini, tidak berkelip-kelip matanya.
Dato’Mansor berdeham-deham, mengejutkan Amir Mazlan dari lamunan.
“Tengok anak dara orang tu, pandanglah kiri kanan sikit, buat malu sahaja. Mak ayah diapun ada di sini. Kalau berkenan tanyalah depan-depan” Perli Dato’ Mansor.
Tidak semena-mena wajah Azin Aliah Syakila memerah menahan malu.
Getus hati Dato’ Mansor, ada tanda-tanda anak tunggalnya sukakan anak sulung Padil. Petanda baik untuk mereka dijodohkan nanti.
Setelah makan malam, kami semua beralih semula ke ruang tamu. Mata Amir Mazlan masih lagi memerhatikan gerak geri Azin Aliah Syakila sehingga menimbulkan keresahan gadis itu.
“Hai mengapalah mamat ni, pandang aku macam nak makan. Tidak kenyangkah? Persis singa lapar” rungutku di dalam hati tidak karuan.
“Apa yang tidak kena, baju atau kainku koyakkah? Getus hati Azin lagi.
“Encik Padil, terima kasih kerana menyelamatkan nyawa saya tadi. Kalau tidak mungkin saya sudah tiada lagi.” Cakap Dato’ Mansor memecahkan suasana yang tadi sunyi sepi.
“Kebetulan, saya lalu di situ Dato’, jadi sudah menjadi tanggungjawab saya” Senyum Padil.
“Beginilah saya dapat tahu kerja Encik Padil pun tidak menentu. Saya berikan wang juga Encik Padil menolak. Saya bercadang untuk mengambil Encik Padil bekerja dengan saya untuk menjaga Villa Desa kami ini. Tolong saya kemaskan setiap 3 bulan sekali, jaga keselamatan Villa Desa ini serta kawasan persekitarannya. Saya akan bayar gaji Encik Padil tiap-tiap bulan. Bagaimana setuju?” Dato’ Mansor bersungguh-sungguh untuk membalas jasa Padil.
“Jangan menolak Encik Padil dan Puan Maryam. Kami benar-benar ingin meringankan beban kamu sekeluarga. Hutang nyawa tiada gantinya.” Pinta Datin Masyitah bersungguh-sungguh.
“Alhamdullillah, rezeki Allah. Terima kasihlah Dato’ dan Datin. Budi baik kalian tetap saya kenang dunia dan akhirat.” Syukur Padil sambil tersenyum kepada isterinya, Maryam di sebelahnya.
“Kalau Dato’ sudah bersungguh-sungguh menawarkan takkan saya hendak menolak pula, dapatlah juga saya berpendapatan tetap” Padil bersyukur kepada Ilahi di atas rezeki ini di dalam hatinya.
“Apalah hendak dibandingkan jasa yang telah Encik Padil lakukan kepada saya.”
“Saya kasihan juga lihat anak-anak Encik Padil pun masih kecil lagi. Yang sulung siapa nama, umurnya?” Tanya Dato’ Mansor penuh minat.
“16 tahun Dato’, tahun depan tingkatan empat. Azin Aliah Syakila namanya” Jawab Padil.
“Azin Aliah Syakila, sedap namanya. Dilihat orangnya pun manis, bersopan santun dan menghormati orang tua” Puji Dato’ Mansor.
No comments:
Post a Comment