Tuesday, September 24, 2013

Penjara Kasihku Bab 1

Bab 1
Di halaman Villa Desa, kelihatan suami isteri berusia separuh abad sedang bersantai di waktu petang yang hening. Wajah suaminya kelihatan agak tegang.
“Ita, saya terhutang nyawa kepada Padil. Jika dia tidak selamatkan saya tempohari sudah tentu saya sudah jadi arwah sekarang ini.” Terhinjut-hinjut bahunya menahan sebak dan menginsafi diri. Lantaran itu, Dato’ Mansor mengenangkan saat getir dia bertarung nyawa ketika diserang hipotermia akibat kesan daripada penyakit kencing manisnya. Seolah-olah tuhan meminjamkan nyawa buat kali kedua untuknya.
“Saya faham maksud abang, tapi bagaimana caranya abang ingin membalas jasa Padil?” Sememangnya Datin Masyitah mengakui suaminya seorang yang bersifat merendah diri. Walaupun suaminya sudah berada di puncak bersama harta dan wang ringgit yang melimpah ruah, Dato’ Mansor tetap insan yang sama dan setia bersamanya sepertimana 28 tahun dahulu juga usia perkahwinan mereka.
“Saya sudah mengupah penyiasat peribadi. Padil memang daripada orang yang susah. Setakat mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung seperti membersihkan kebun dan memanjat serta memungut buah kelapa berapa sen sangat upahnya. Dia pun terpaksa menyara keluarga yang agak besar, seorang isteri dan enam orang anaknya. Kesemuanya masih bersekolah, terdiri daripada tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan. Anaknya yang sulung, kalau tidak silap bakal berusia 16 tahun awal tahun nanti.” Dato’ Mansor terdiam seketika dan isterinya dengan sabar menunggu apakah yang bakal diucapkan oleh suaminya.
Datin Masyitah tidak menyangka suaminya sudah mengetahui begitu teliti. Dato’ Mansor diakui seorang yang amat berhati-hati dan tegas dalam keputusannya. Setiap yang dilakukan pasti ada alasannya yang tersendiri. “Beginilah Ita, kamu pun lihat sendiri bagaimana Padil menolak sejumlah wang yang kita hadiahkan kepadanya tempohari. Jadi saya bercadang untuk mengupahnya untuk menjaga Villa ini dan kebun di belakang itu sekali. Kita pun jarang berada di sinikan. Berkaitan hal anak-anaknya pula pada perkiraan abang kesemuanya bijak-bijak belaka. Abang bercadang untuk membiayai pelajaran mereka sehingga ke menara gading dan…” Datin Masyitah masih tercari-cari makna ayat tergantung yang bakal tercetus daripada mulut Dato’ Mansor.
“Dan apa abang..” Datin Masyitah sudah tidak sabar menanti penjelasan suami tercintanya.
“Anak sulung Padil, abang cadang hendak kahwinkan dengan anak tunggal kita, Amir Mazlan. Umur anak kita pun sudah mencecah hampir 27 tahun tapi belum bertemu dengan jodohnya. Salah abang juga terlalu mendesak dia untuk membantu abang dalam menguruskan rangkaian hotel kita.” Tegas Dato’ Mansor.
“Setujukah Am nanti, abang? Ita risaulah sekiranya dia membantah. Abang bukan tidak kenal anak kita suka memberontak dan baran pula. Abang hendak jodohkan dengan budak sekolah berusia 16 tahun. Tidak muda sangatkah budak perempuan itu untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Bagaimana pun dengan persekolahannya nanti?” Datin Masyitah tidak cuba membantah tegas suaminya namun dia agak musykil apakah rencana difikirkan suaminya itu.
“Saya yakin Am akan bersetuju. Walaupun Am diluarannya nampak agak tegas dan kuat memberontak dia pasti tidak akan menghampakan saya. Saya sudah aturkan semuanya. Insya-Allah semua akan berjalan lancar. Nanti saya akan terangkan kepada Ita dan Am serentak. Lepas makan malam ini kita berbincang di sini. Abang hendak berehat dulu sementara menunggu azan Maghrib. Ita jangan lupa beritahu Am ya.” Datin Masyitah menganggukkan kepalanya tanda faham dan suaminya telah bingkas bangun menuju ke bilik mereka di tingkat atas rumah mewah milik keluarga mereka.
*******
Kedengaran bunyi deruman enjin kereta Audi Sport milik Amir Mazlan bin Dato’ Mansor. Senja menjelma dan hampir waktu maghrib barulah dia tiba ke rumah. Jalan agak sesak kerana terdapat kemalangan jalanraya dan ada pula kereta rosak di pertengahan lebuhraya. Jarak pejabat dengan rumahnya sepatutnya mengambil masa 20 minit sudah menginjak kepada 45 minit. Keletihan terpalit di wajahnya, mana tidaknya dia terpaksa mempengerusikan dua sesi mesyuarat di sebelah pagi dan petang akibat Dato’ Mansor di saat-saat akhirnya memintanya untuk mengambilalih tempatnya. Alasan papanya tidak begitu sihat hari ini.
“Assalamualaikum, mama. Am laparlah. Mama masak apa hari ini ya?” Amir mengucup lembut tangan dan pipi Datin Masyitah. Bahagia hati seorang ibu apabila anak bujangnya masih mahu bermanja dengannya.
“Mama cuma masak soto ayam malam ini. Papa kamu kan tidak sihat. Itu yang mama masakkan sup sahaja” jelas Datin Masyitah.
“Sedap itu mama. Soto ayam mama nombor satu dalam Malaysia, kegemaran Am. Am, naik atas mandi dan solat dahulu, mama.” Amir Mazlan meminta diri.
“Oh ya, papa macam mana? Kata tadi tidak sihat. Penat Am kena ganti tempat papa dalam mesyuarat di saat-saat akhir. Papa ni, menguji kebolehan Am sungguhlah” Prihatin dengan keadaan papanya namun masih mengomel tidak lekang di bibirnya. Datin Masyitah hanya mampu tersenyum. Amir Mazlan sekiranya dibelakang Dato’ Mansor amat petah berkata-kata namun apabila bertentang mata dengan papanya terus beku seperti ais. Hilang sogokkan nama timangan “singa lapar” oleh kakitangan di pejabatnya.
“Am, papa ada pesan nanti selepas makan malam, dia hendak jumpa Am di ruang tamu. Ada hal penting hendak dibincangkan” Datin Masyitah baru teringatkan pesanan suaminya sebentar tadi. Amir sekadar mampu mengangguk. Jarang benar papanya ingin bertemu serta berbincang selepas makan malam. Hal penting apa agaknya, Amir bermonolog sendirian. Amir Mazlan sebenarnya tidak betah untuk menentang papanya dalam segala hal. Dato’ Mansor seorang yang sangat tegas dengannya. Namun Amir Mazlan tetap berterima kasih kepada papanya kerana ketegasan itu dia sudah berjaya menjadi CEO muda di rangkaian hotel milik papanya.
Usai solat maghrib berjemaah diimamkan oleh Amir Mazlan, mereka terus melangkah ke meja makan untuk makan malam. Datin Masyitah walaupun menggajikan dua pembantu rumah, namun dia masih setia turun padang untuk menyediakan hidangan dan keperluan keluarganya. Amir sendiri kagum dengan mamanya. Mamanya seorang isteri yang taat kepada suami dan tidak jemu-jemu menguruskan hal rumahtangga dengan tangannya sendiri.
Adakala Datin Masyitah agak sibuk dengan persatuan kebajikan sosial. Malah dia terpilih sebagai penaung Persatuan Anak Teraniaya dan Terbiar (PATT).
“Makan malam sudah terhidang di hadapan mata, yang kamu ini tenung isteri papa lama-lama itu, mengapa?” Tegur Dato’ Mansor sambil berseloroh. Barulah Amir Mazlan tersedar dari lamunannya, akhirnya tersenyum sipu-sipu malu sendirian. Amir Mazlan sudah berencana untuk mencari isteri yang setaat dan semulia mamanya. Hai entah bilalah akan bertemu.
“Ada apa yang hendak dibincangkan selepas makan, papa?” Amir Mazlan seolah-olah tidak sabar untuk mengetahui intipatinya daripada Dato’ Mansor. Faham sangat dengan perangai anak tunggalnya, semuanya hendak cepat. Dato’ Mansor setakat tersenyum dan mengelengkan kepalanya.
“Hal berkaitan masa depan kamu, Amir Mazlan. Selepas makan kita bincang di ruang tamu ya. Harap bersabar Encik Amir Mazlan” usik papanya lagi.
“Wah, bunyi macam serius. Baik bos” Amir Mazlan berkata sambil mengangkat tabik hormat kepada papanya.
*****
“Kamu ingat lagi tak Pakcik Padil yang selamatkan papa tempohari?” Amir Mazlan cuba untuk mengimbas. Akhirnya dia teringat dan mengganggukkan kepalanya.
“Ya tapi kenapa, papa?” Amir Mazlan makin tidak sabar.
“Papa sebenarnya bercadang untuk membalas jasanya. Papa sudah berbincang dengan mama kamu, mama kamu pun sebulat suara dengan papa. Sekarang kami perlukan persetujuan kamu sahaja untuk melaksanakannya.” Hai lain macam sahaja bunyinya. Amir cuma memandangkan mamanya mohon perjelasan. Mamanya pula mengisyaratkan agar tunggu papanya mengulas lebih lanjut.
“Keluarga Pakcik Padil, papa akan bantu secara keseluruhannya. Papa bercadang untuk Pakcik Padil menjaga Villa Desa dan kebun belakang ini sekali. Pelajaran anak-anaknya, papa akan tanggung sehingga ke menara gading. Ada satu perkara yang perlu melibatkan kamu, Am” Terang Dato’ Mansor. Amir masih menunggu dengan penuh kesabaran.
“Papa bercadang untuk jodohkan kamu dengan anak perempuan sulung Pakcik Padil, Azin Aliah Syakila.” Terbuntang mata Amir Mazlan mendengarnya.
“Papa, biar betul. Kalau tidak silap, budak itu baru hendak masuk tingkatan empatkan sesi persekolahan tahun hadapan. Bagaimana budak sekolah boleh berkahwin? Mustahil. Am tidak setuju sama sekali papa, tolonglah” tingkah Amir sambil menahan kemarahan. Mukanya yang sememangnya putih sudahpun bertukar kepada kemerah-merahan. Bibirnya diketap kuat. Amir sudah mula bingkas bangun seolah-olah membentak.
“Kamu jangan kurang ajar, Amir Mazlan bin Dato’ Mansor. Papa belum habis bercakap lagi. Duduk kamu.” Dato’ Mansor mula naik berang. Amir Mazlan terpaksa akur. Memang dia lemah seluruh sendinya apabila terpaksa menghadap ketua keluarga itu.
“Umur kamu sudahpun 27 tahun. Kami sudahpun semai semua ilmu dunia dan akhirat pada kamu. Kamu anak tunggal kami, satu-satunya pewaris harta papa dan empayar Hotel M & M. Papa sengaja hadiahkan bakal isteri kamu seorang yang terlalu muda untuk kamu buktikan pada kami yang kamu mampu menjadi khalifah dan imam yang baik.” Amir Mazlan, badannya berasa longlai.
“Syaratnya, dalam masa lima tahun kamu mesti pastikan bakal isteri kamu berjaya dalam pelajaran dan menjadi ibu yang baik. Papa perlukan sekurang-kurangnya seorang cucu daripada kamu berdua. Setelah dia berjaya dalam pelajaran, papa mahu dia sama-sama berganding bahu dengan kamu menguruskan empayar hotel kita. Jika kamu berjaya buktikan pada kami, barulah seluruh aset papa bernilai ratusan juta ringgit milik kamu secara mutlak. Jika tidak, papa lebih rela sedekahkan kepada Baitumal untuk uruskan.
“Papa, Am tidak bermaksud untuk menentang cakap papa. Berilah peluang Am buat solat istikarah dahulu. Tiga hari lagi Am akan beritahu jawapannya pada papa. Boleh ya, papa?” Amir Mazlan ingin memohon petunjuk Ilahi dalam hal yang penting ini. Memilih rusuk kiri bukanlah suatu yang mudah. Tidak terjangkau akalnya untuk beristeri secepat ini dan dapat pula gadis yang terlalu muda.
“Sebelum kamu beristikarah, papa sudahpun melakukannya dan ini ada keputusan terbaik untuk masa depan kamu. Mahu atau tidak kamu mesti memperisterikan Azin Aliah Syakila seikhlas hati. Belajarlah bercinta selepas perkahwinan. Lebih banyak yang halal daripada yang haramnya. Satu lagi tiada dalam keturunan kita berpoligami atau bercerai berai. Sekiranya kedua perkara tersebut berlaku dalam hidup kamu, automatik terlucut hak kamu sebagai waris Dato’ Mansor.” Dato’ Mansor sudah membulatkan tekad. Apapun rancangannya perlu berjaya. Esok dia perlu bertemu dengan Padil untuk berbincang lebih lanjut hasrat hatinya itu.

No comments:

Post a Comment